Sabtu, 29 Januari 2011

Maafkan aku wahai Suami....



Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu...
Namun cabaran terlalu

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku...
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita...
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini...
Maafkan aku wahai suami!

Rabu, 26 Januari 2011

Senyum itu sedekah...



Seorang sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekahkan bertanya, "Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang boleh kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya ?"

Rasulullah SAW bersabda, "Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

Dalam hadis lain disebutkan bahawa senyum itu ibadah,"Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah." (HR Trimidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi).

Ahad, 23 Januari 2011

Kasih Sayang Ayah

Lakaran garisan diwajahnya yang timbul setiap kali melonjak kepada usia baru sudah cukup memberi erti kepada kegigihan malah kesungguhannya untuk mendidik anak sendiri.

Tiada yang diimpikan,melainkan melihat anak sendiri berjaya dalam semua prospek mahupun duniawi ataupun akhirat. Kehilangannya,kerukunan institusi keluarga itu mungkin akan sedikit longgar.

Dialah ketua, dialah idola, dialah segala-galanya. Dialah bapa. Bapa yang merupakan peneraju bagi anak-anak mahupun isteri untuk berlindung.

Dia tidak meminta untuk dibalas akan jasanya, dia cuma mahu anak-anaknya menjadi insan yang berguna, yang dapat membanggakannya,yang dapat mengirimkan bacaan doa kepadanya apabila dia tiada nanti, yang sentiasa melakukan kebaikan untuk nusa dan bangsa. Adakah kita seperti yang dia inginkan?

Renungkan sejenak, mengambil semula nostalgia lama, menghirup semula memori dahulu, adakah kita pernah melukakan hati dia? Sering ingkar akan arahannya? Adakah kita tidak berfikir, kesukarannya dulu menjaga kita diwaktu kecil, bersengkang mata bagi memastikan kita nyenyak, mengikat perut demi memastikan kita tidak kelaparan, malah memberikan keselesaan kepada kita dengan memberikan segala-galanya yang kita inginkan. Segantang emas belum tentu dapat menebus semula pengorbanan yang telah dia lakukan. Teramat besar pengorbanannya.

Tiada bapa yang mahu melihat anaknya ketagihan dadah, yang mahu anaknya menjadi penipu, yang mahu anaknya menjadi pengemis. Dia cuma mahu anaknya menjadi seorang yang berguna, yang dapat menimbulkan gelora bangga dan kesyukuran kerana pengorbanannya mendidik kita tidak sia-sia.

Mari kita tepuk dada sejenak, bertanya kepada diri sendiri, apakah usaha yang telah kita lakukan untuk menjadi anak yang dapat membanggakan dia? Adakah kita pernah berusaha sedemikian rupa? Atau kita sekadar berusaha untuk kekasih hati kita yang bila-bila masa akan meninggalkan kita? Fikirkan!

Rata-rata timbul disetiap pelusuk dada-dada akhbar,memaparkan kesalahan sosial golongan kita pada masa kini yang setiap saat ada sahaja timbul isu yang baru.

Isu pembuangan bayi masih belum-belum lagi berhenti, masalah dadah, mencuri, bahkan membunuh ibu bapa sendiri. Inikah diri kita yang boleh dikatakan dapat membanggakannya? Berlinang air matanya apabila melihat anak sendiri terlibat dalam masalah sosial, bergolok gadai mengupah peguam dirinya demi memastikan anak sendiri bebas dari penjara, tetapi setelah bebas, kesalahan yang sama masih dilakukan.

Bagaimana kita hendak membalas jasanya,sedangkan diri sendiri masih di awangan? Permasalahan sosial ini bukan berpunca dari kita semua, tetapi hampir semua, yang dari setiap detik semakin membarah dari hari ke hari.

"Ya Allah jadikan kami ini tergolong dalam anak yang sering mengingati jasa ibu bapa kami,yang sering patuh kepada mereka selagi mereka tidak menyuruh kami melanggar perintah-Mu."

Rabu, 19 Januari 2011

My Hero....

Kasihilah kedua ibubapa anda. Kebanyakan kita, di saat ibubapa masih hidup tidak mudah bagi kita untuk menghargai kasih sayang mereka. Padahal cinta mereka begitu dalam terhadap kita. Di dalam setiap helah nafas, gerak bibir dan langkah mereka tersemat kasih sayang yang tidak ternilai harganya. Tidak ada yang mereka fikirkan begitu penting selain keluarga mereka terutamanya anak mereka. Tahukah kita bahawa anak adalah semangat penerus kehidupan ibubapa? Bahkan dalam amarah kemarahan, kekecewaan dan kesedihan mereka masih boleh tersenyum di hadapan anak-anak. Semua ini hanya kerana kasih sayang mereka terhadap kita.

Bagi sesetengah dari kita, ini mungkin nasihat usang yang sudah selalu sering didengar. Namun ketahuilah wahai insan yang bergelar anak, kalimat ini tidak akan pernah usang kerana seorang anak juga akan menjadi ibu atau bapa. Mengasihi ibubapa sebenarnya mengasihi diri kita sendiri. Ingatlah kita dilahirkan dari sebuah kasih sayang, kita membesar dalam naungan kasih sayang dan kita juga akan ditinggalkan dengan lambaian kasih sayang. Mungkin belum terlambat, namun sebelum hati menyesal, kasihilah mereka ibubapa kita. Bagi mereka, balasan kasih sayang ini jauh lebih berharga daripada apa pun yang pernah mereka perolehi. Bagi mereka kasih sayang anak itulah bekal yang sebaik-baiknya untuk menikmati usia senja mereka dan bukannya longgokan harta yang banyak.





Jangan Berputus Asa.



"Ah!! Tensionnya!"

"Banyaknya masalah"

"Ada tak orang yang hidup tiada masalah?"

Satu demi satu persoalan mengetuk gegendang telinga saya, jika persoalan-persoalan itu mampu memberi kesan kepada gegendang telinga, pastinya gegendang telinga saya sudah berlubang sekarang! :)

Adakah manusia yang tidak punya masalah?

Bertanya persoalan yang seperti itu, seolah-olah kita bertanya: Adakah manusia hidup yang tidak bernafas?

Benar. Masalah sudah amat sinonim dengan diri seorang insan kerdil lagi hina bergelar manusia. Sedangkan Nabi dan para sahabat juga dicubit sayang oleh Allah, inikan pula kita manusia biasa...

Persoalannya bukan adakah manusia yang tidak ada masalah tapi lebih kepada bagaimana kita menghadapi permasalahan yang ada.

Jika kita cuba lari dari masalah percayalah masalah itu tidak akan pergi.

Berhadapanlah dengannya.

"Sebenarnya... Hidup bila tidak ada masalah jadi mendatar, jadi tidak ada kenangan yang hendak dikenang.. Jadi hambar." Sahabat yang saya kasihi melontarkan nasihat.

"Tapi kan bila ada masalah jadi susah hati, jadi sedih..." Saya menyambung.

"Memanglah, mana ada orang ada masalah suka hati je..."

Saya ketawa. Benar, masalah itu menjadikan hati menjadi murung tapi di sebalik kemurungan itu akan terselit pula kebahagiaan.

Apabila masalah itu telah selesai, percayalah kita pasti mampu tersenyum malah tertawa sewaktu mengenangkannya.

Maka,jangan sesekati berkata: "Oh Allah! Aku ada masalah yang besar!" Tapi berkatalah:

"Oh Masalah, Aku ada Allah yang Maha Besar!"

Allah Pasti Akan Membantu

"Macam mana ni..." Matanya berair, berserta esakan yang perlahan. Hujung tudungnya diambil sedikit buat mengesat air mata yang kian mengalir. Saya gusar. Melihatnya mengalirkan air mata membuat saya tidak keruan.

"Sabar..Sabar.."

Sergahan ustaz tentang hafazan kami membuatkan hati sahabat-sahabat sekelas menjadi kecut. Ah, takut ujian yang diberi tak dapat dijawab dengan baik, takut hafazan tersekat di tengah-tengah.

Memandang sahabat yang sedang menangis itu, entah kenapa secara tiba-tiba saya berasa sedikit tenang, seolah-olah terdengar-dengar janji Allah ;

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa," (Al-Hajj :22)

"Ok, cepat cepat!" Ustaz memanggil.

Sahabat saya nan satu itu ke hadapan, bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Beberapa minit berlalu....

Surah An-Naba' dan An-Naziat berjaya dilepasi.

Berjaya pula dia mendapat 10/10.

Oh Allah, betapa Engkau tidak pernah mengecewakan hambaMu yang berusaha!

Jangan berputus asa

"Saya rasa masalah saya ni dah tak ada jalan penyelesaian dah. Buntu."

Ingatkah kita pada firmanNya ;

"jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)

Jangan sesekali berputus asa. Masakan Allah menimpakan ujian dengan sia-sia, masakan Allah sengaja membuat kita sakit dan bersedih.

Sedangkan setiap penyakit itu ada ubatnya melainkan mati, masakan masalah yang kita hadapi langsung tidak punya jalan penyelesaian.

"Saya dah puas cuba macam-macam, tapi...tapi..begini juga."

Nah, lihat kembali dalam diri.. Segala keputusan yang diambil, adakah dikembalikan kepada Allah. Maksud saya, adakah kita redha, adakah segala keputusan dan tindakan yang kita ambil kita bertawakal kepada Allah atau kita merasa yakin dengan diri kita sendiri?

Hakikatnya...Allah timpakan ujian agar kita memuhasabah diri. Allah beri sakit untuk kita menghapus dosa, Allah beri kesusahan agar kita kembali padaNya.

Jika kita menyombong diri...termasuklah kita dalam kalangan orang yang rugi.

Jika kita tidak kembali pada Allah... Terbengkalailah masalah kita dengan seribu persoalan.

Kembalilah... Allah menantimu.

Berusaha dan kemudian serahkan urusanmu pada Allah.

Sungguh, Dia lebih Mengetahui!

Bangunlah, Bangkitlah, Berdirilah..Walau kamu terasa payah, walau kamu terasa seksa.. Kerana hakikatnya Allah akan membantumu. Pasti! Jangan diragui.

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Al-Imran : 159)

Suka suki...