Ahad, 31 Julai 2011

Selamat Berpuasa...



Selamat menyambut bulan Ramadan kepada seluruh umat Islam dan selamat menunaikan ibadat puasa.

Sebelum kita melalui bulan Ramadan ini, ada baiknya kita merenung semula Ramadan yang pernah dilalui, juga hari-hari dalam kehidupan selama ini, apakah yang kita perbuat dan lakukan dalam hidup, segala kebaikan dan keburukan, kelebihan dan kekurangan yang kita telah lakukan.

Ramadan ini juga kita berpeluang sekali lagi untuk merenung dan bermuhasabah diri, menginsafi segala kekurangan dan kelemahan yang telah diperbuat dengan harapan dan doa dapat dibaiki.

Tanpa rindu.....


Rindu itu ada kerana kita menjalani masa.

Rindu itu terjadi kerana kita membiarkannya, dengan sesekali menjadikan rindu itu alasan.

Rindu ada kerana jarak. Itu yang diketahui banyak manusia.

Rindu itu terjadi kerana kita pernah melewati sebuah kenangan yang menangkap emosi kita.


Meski sejatinya, rindu itu cuma rasa.

Tapi bila mana jarak itu dilipat, rindu pun akan tetap ada. Kerana ada zaman ketika kita bertemu dan ada zaman yang membentang jambatan di antara kita.

Rindu itu adalah ketika aku duduk dan wajahku menghadap jendela kaca yang memperlihatkan jalan yang dipenuhi kendaraan berlalu lalang tapi yang terlihat hanya masa-masa kita bersama.

Rindu itu adalah ketika aku menangis tanpa tahu beban apa sebenarnya yang menyelaputi tiap airmata.

Rindu itu alasan. Alasan. Dan selamanya rindu bagiku cuma rasa dan alasan untuk mengikat kita dalam sebuah hubungan.

Rindu itu ternyata masih sebatas alasan agar aku terhindar dari lupa.

Tapi tetap saja, ada sudut hatiku yang mengatakan rindu ini bererti ingin ada perjumpaan..

Hanya saja, atas nama rindu ini, aku belum ingin bertemu. Maafkan aku.......:(

Sabtu, 16 Julai 2011

Nisfu Syaaban 2011/Keistimewaan Bulan Syaaban



  • BULAN Syaaban mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Islam sama seperti bulan lain yang turut mempunyai kelebihan sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah.
  • Syaaban adalah antara bulan paling dicintai Rasulullah SAW dan Baginda akan lebih banyak berpuasa pada bulan ini. Amalan Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan ia juga latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan.
  • Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan.

  • Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah memperbanyak puasa sunat, bertaubat dan beristiqhfar kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.

  • Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syaratnya. Jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan, hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu, menyesali perbuatan maksiatnya serta berjanji untuk tidak akan mengulanginya.
  • Jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan, memperbanyak zikir dan berdoa. Zikir ialah ucapan dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati membesar serta mengagungkan Allah.
  • Ini bersesuaian dengan janji Allah bahawa orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.
  • Selain itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan pada bulan Syaaban sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama pada waktu malam dan bersedekah
  • Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada pada bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita.
  • Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan lain? Baginda bersabda yang bermaksud: “Bulan itu (Syaaban) yang berada antara Rejab dan Ramadan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadahku di angkat ketika aku berpuasa.” (Hadis riwayat an-Nasaie)
  • Sementara itu, kelebihan malam Nisfu Syaaban disebut dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)
  • Malam Nisfu Syaaban juga adalah antara malam yang dikabulkan doa. Memetik pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidiladha, malam hari raya Aidilfitri, malam pertama pada bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”
  • Kita boleh menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.
  • Kesimpulannya, amalan berterusan ini membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta menyambut kedatangan Ramadan dengan hati bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.

Sumber : www.bharian.com.my

Ahad, 10 Julai 2011

Kehidupan...



Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadang kala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.

Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah sedang menduga. Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.

Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadang membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadang kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis olehNya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuanNya? Kadang kala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapanNya.